Sunday 20 July 2014

#MH17: Pemberontak Donestk seperti sengaja lengah usaha bawa keluar mayat





KIEV: Pemberontak Donestk People's Republic seolah-olah sengaja melengahkan usaha membawa keluar mayat anak kapal dan penumpang pesawat malang, MH17 dengan mewujudkan pelbagai kekangan kepada pasukan penyelamat serta kumpulan penyelamat antarabangsa, termasuk dari Malaysia memasuki lokasi nahas. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menyatakan kekecewaan Kerajaan Malaysia berhubung perkara itu, berkata pasukan penyelamat dan kumpulan penyiasat antarabangsa diberikan akses yang amat terhad ke lokasi nahas bagi melaksanakan prosedur berkaitan. 
Katanya, tindakan itu secara langsung menganggu kelancaran proses membawa keluar mayat mangsa, selain pengumpulan bahan bukti berkaitan bagi membantu proses siasatan, termasuk oleh kumpulan pakar antarabangsa bertujuan mengenalpasti punca sebenar nahas berkenaan yang disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah penerbangan dunia.


"Malaysia dengan sokongan seluruh masyarakat antarabangsa menggesa mereka (pemberontak) memberi jaminan keselamatan dan akses menyeluruh kepada pasukan penyiasat, begitu juga kumpulan penyelamat masuk ke tempat kejadian.

"Kita turut menuntut agar mereka menghantar mayat mangsa (ke Kiev) untuk proses pengecaman, seterusnya diuruskan mengikut prosedur sepatutnya, termasuk dihantar pulang ke negara asal untuk disempurnakan," katanya kepada media Malaysia di Hotel President, di sini malam tadi.

Beliau sebelum itu mengikuti taklimat perkembangan terkini misi mencari dan menyelamat (SAR) MH17 oleh Ketua Delegasi Pasukan Siasatan Khas Malaysia, Khairil Hilmi Mokhtar di Hotel President, di sini.

Turut mengiringinya Duta Malaysia Ke Ukraine, Chuah Teong Ban; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abd Rahman dan Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof. 
Difahamkan, taklimat turut menyentuh pelan tindakan pasukan itu, termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dilaksanakan sebaik mendapat jaminan keselamatan utk memasuki lokasi nahas, kira-kira 800 kilometer dari bandaraya ini.

Sehingga semalam, lebih 196 mayat dikeluarkan dari lokasi nahas, sebelum ditempatkan dalam gerabak dingin beku keretapi yang disediakan Kerajaan Ukraine.

Bagaimananapun, keretapi itu dilaporkan bergerak ke lokasi tidak dinyatakan, namun dipercayai berada di Torez berhampiran lokasi nahas di Grabovo yang dikuasai pemberontak. 

Liow ketika mengulas lanjut, berkata pemberontak turut mewujudkan kekangan kepada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE), juga pihak ketiga dilantik bagi berunding denhan pemberontak, melakukan penugasan di lokasi tragedi.

"Mereka (OSCE) mahu menghantar 80 petugas masuk lokasi nahas untuk melicinkan operasi di lokasi nahas, namun menghantar hanya empat petugasnya, selain diberikan hanya satu jam untuk berada di kawasan itu," katanya.

Liow berkata, dalam pertemuan bersama beberapa pemimpin tertinggi Ukraine sejurus tiba di bandaraya ini semalam, mereka menyatakan kesukaran dalam mewujudkan koridor selamat di lokasi nahas untuk penugasan pasukan penyiasat dan kumpulan penyelamat antarabangsa.m

"Mereka (Kerajaan Ukraine) menyatakan komitmen untuk membantu kita dalam mengendalikan insiden MH17, namun sukar untuk memberi jaminan keselamatan di lokasi nahas.

"Ini bertambah rumit apabila didapati ada banyak pecahan kumpulan pemberontak di lokasi nahas dan tiada satu ketua yang boleh mengkoordinasi arahan, sekali gus mewujudkan risiko keselamatan kepada pasukan penyiasat dan kumpulan yang mahu memasuki kawasan itu," katanya

Malaysia dan negara lain yang terbabit secara langsung dalam insiden itu turut menyatakan bahan bukti berkaitan, termasuk kotak hitam pesawat dimusnahkan kerana boleh menggangu proses siasatan.

"Kita belum pasti sama ada komponen itu (kotak hitam) sudah ditemui atau sebaliknya. Bagaimanapun, kita menggesa mereka agar menghormati prosedur ditetapkan dan menyerahkannya kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya.

Source - Berita Harian
read more...
Share this article

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2014 The Manasseh Post • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top