Tuesday 22 July 2014

Jumpa Mayat Reput Dalam Ladang Sawit



KLUANG – Seorang pekerja ladang yang sedang membersihkan kawasan dikejutkan dengan penemuan satu mayat reput di Ladang Sembrong, dekat Layang-Layang, kira-kira jam 8.30 pagi, semalam.
Pekerja ladang yang enggan dikenali itu, berkata, mayat yang ditemui itu berada di kawasan semak yang sudah diracun.
“Pada mulanya, saya tidak perasan tetapi selepas berpindah ke barisan anak pokok kelapa seterusnya, saya bersama rakan terkejut apabila melihat satu mayat manusia yang reput diletakkan tersembunyi berdekatan pokok kelapa sawit yang baharu ditanam tiga bulan lalu.
“Tanpa membuang masa, saya terus menghubungi Balai Polis Layang-Layang bagi memaklumkan penemuan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Mohd Roze Shaari yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, mayat yang ditemui itu dipercayai sudah lebih daripada dua minggu berdasarkan keadaan mayat tersebut.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, mayat itu adalah seorang lelaki tempatan dipercayai diletakkan di kawasan ladang ketika mangsa sudah tidak bernyawa.
Jelasnya, maklumat berkaitan mayat berkenaan diketahui apabila pekerja ladang berkenaan memaklumkan kepada pihak polis yang terus bertindak menyiasat.
“Bagaimanapun, ketika ini kita masih belum mengetahui punca kejadian kerana ia masih dalam siasatan.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksesaan yang merujuk kepada mati mengejut. Namun, setakat ini pihak forensik masih menjalankan siasatan ke atas mayat itu,” katanya.
Mohd Roze berkata, ketika mayat ditemui di sekitar kawasan berkenaan tidak ditemui sebarang dokumen pengenalan diri namun, pihaknya akan menyiasat berdasarkan laporan orang hilang bagi memastikan identiti mayat berkenaan.
Beliau berkata, ketika ini mayat telah dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang untuk dibedah siasat bagi mengecam identiti mayat tersebut. – Sinar Harian Online
read more...
Share this article

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2014 The Manasseh Post • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top