BATU PAHAT – Tiga mayat wanita warga Indonesia ditemui, manakala 13 lagi diselamatkan dalam kejadian bot pancung karam di 15 batu nautika barat daya, muara Sungai Muar dekat Selat Melaka awal pagi Khamis.
Sehingga 9 malam Khamis, 16 orang daripada 21 penumpang termasuk tekong dan pembantunya telah ditemui (16 termasuk tiga mayat), kata Ketua Penguat Kuasa Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat, Leftenan Komander Iskandar Ishak.
Beliau berkata mereka yang selamat berusia antara 19 dan 41 tahun terdiri daripada seorang perempuan dan 12 lelaki.
“Bilangan tersebut termasuk yang baru diselamatkan oleh bot pukat tunda yang melalui kawasan itu lewat petang tadi dan mereka semua dibawa ke jeti APMM Batu Pahat.
“Ketiga-tiga mayat mangsa pula diserahkan kepada polis untuk urusan selanjutnya,” kata beliau kepada pemberita di pejabat APMM Batu Pahat, Jalan Minyak Beku, dekat sini, Khamis malam.
Iskandar berkata gerakan mencari dan menyelamat yang melibatkan dua aset maritim, Kilat 43 dan Petir 84 masih diteruskan, walaupun keadaan laut di lokasi terbabit begitu bergelora.
Kata beliau tekong dan pembantunya yang berusia 30 tahun itu yang terselamat, diserahkan kepada polis untuk disoal siasat.
Dalam kejadian 5 pagi tadi, bot pancung jenis fiber yang berukuran enam meter itu berlepas dari laluan tikus di Parit Bunga, Ledang dengan menggunakan enjin 75 kuasa kuda menuju ke Bengkalis, Indonesia untuk pulang berhari raya di kampung halaman mereka.
Iskandar berkata setibanya di tempat kejadian, bot mereka karam akibat dipukul ombak besar menyebabkan mereka terpaksa berenang sebelum sebahagian daripada mereka berjaya diselamatkan oleh sebuah kapal dagang dalam perjalanan ke Singapura pada 11.30 pagi.
Hasil siasatan mendapati setiap penumpang membayar tambang antara RM600 hingga RM2,500.
Sementara itu, mangsa wanita tunggal yang terselamat, Asrawati Abd Majid berkata dia tenggelam timbul selama lebih enam jam dalam laut bergelora itu sebelum diselamatkan oleh kapal dagang tersebut.
Ibu tunggal berusia 45 tahun itu, yang mahu pulang berhari raya dengan tiga orang anaknya di Jambi, Indonesia, merasa bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.
Seorang lagi penumpang yang terselamat, Mohd Norbiati, 22, berkata dia baru sebulan bekerja sebagai buruh binaan di Parit Sakai, Muar, dan kali pertama menggunakan khidmat bot pengangkutan haram.
Katanya, dia bernasib baik kerana berpaut pada sebuah tong sebelum berjaya diselamatkan bersama rakan-rakan yang lain oleh kapal dagang yang dalam perjalanan ke Singapura itu.
Kesemua mangsa yang terselamat disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara lima tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tekong dan pembantunya pula disiasat mengikut Seksyen 26(7) Akta Pemerdagangan Orang yang membawa hukuman penjara lima tahun dan denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – BERNAMA
Source - Mynewshub.com
0 comments:
Post a Comment