SUBANG JAYA 22 Julai - Seorang jurutol wanita nyaris maut setelah sebuah lori membawa muatan tanah hilang kawalan lalu merempuh tembok pembahagi Plaza Tol Sunway di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di sini, sebelum terbakar hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu, jurutol berusia 26 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan sempat menyelamatkan diri sebelum api marak membakar pondok tempatnya bertugas.
Turut terbakar sebuah kereta Proton Saga dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang berada di bahagian hadapan untuk membayar tol.
Kesemua pemandu kenderaan tersebut juga berjaya menyelamatkan diri.
Kemalangan itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh satu kilometer.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.39 petang dan sebanyak dua jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penchala dan Puchong bergegas ke lokasi untuk operasi menyelamat.
Kata beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua mangsa yang terlibat dapat menyelamatkan diri.
"Pemandu lori juga gagal dikesan kerana melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut saksi yang enggan dikenali, dia melihat lori terbabit bergerak laju sebelum melanggar tembok plaza tol berkenaan.
"Berikutan rempuhan kuat itu, saya melihat asap keluar dan api terus menyala dengan pantas lalu mengakibatkan dua buah kenderaan lain turut terbakar," katanya.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan kebakaran.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140723/je_02/Lori-terbabas-pondok-tol-terbakar#ixzz38FYaFvnk
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment