Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menakutkan pembangkang kerana ia sebenarnya menurunkan harga barangan setahun selepas pelaksanaannya kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad dengan tegas berkata GST akan mengurangkan kos pembuatan pengilang kerana cukai jualan lima hingga 10 peratus akan dimansuhkan sejurus pelaksanaan GST pada 1 April 2015.
"Dengan GST, harga barang akan turun dalam tempoh satu tahun selepasnya... ini yang menakutkan pembangkang yang kata BN adalah kerajaan Barang Naik, tapi selepas GST, kami akan jadi kerajaan 'Barang Turun',"kata beliau di forum pro-GST di Hotel Sheraton, Kuala Lumpur hari ini.
Dalam sidang media selepas itu, Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata kerajaan turut berharap untuk mendapat tambahan kutipan sebanyak RM 3 bilion setahun menerusi GST yang lebih 'efisien' selepas mengambil kira potongan cukai lain dan pemberian kepada rakyat.
Beliau menambah bil GST baru akan dibawa untuk perbahasan di Parlimen dan bakal mendapat sokongan kerana cukai jualan lima hingga 10 peratus dan cukai perkhidmatan enam peratus turut akan dimansuhkan.
Ditanya mengenai inflasi dalam tahun pertama pelaksanaan GST, Ahmad menjelaskan pandangan kerajaan yang harga barangan tidak sepatutnya naik lebih dari 1.8 peratus.
Layak dipuji
Ahmad turut memuji kerajaan BN dalam ucapannya dan berkata golongan berpendapatan rendah tidak perlu risau walaupun dalam tahun pertama GST dan menjamin tambahan RM300 ringgit tunai ke atas program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun hadapan.
Minggu lalu, kerajaan menyerahkan RM 3.6 bilion untuk pemberian tahun ketika BR1M kepada kira-kira 7 juta isi rumah yang berpendapatan kurang RM 4,00 dengan tambahan komponen insurans.
"Tidak ada kerajaan di dunia ini yang sebaik BN - terima kasih atas sokongan anda!" kata beliau dalam forum yang anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) yang turut dihadiri pakar cukai dari pelbagai negara.
Apabila tidak mendapat tepukan gemuruh dari khalayak antarabangsa itu, Ahmad tersenyum dan menambah "...dan itu pesanan penaja."
Source - MalaysiaKini
0 comments:
Post a Comment