Thursday, 27 February 2014

2 GAMBAR: "SAYA LIHAT SEMUA KAWAN TERBAKAR DALAM KERETA ITU" - MANGSA KEMALANGAN NGERI DI JALAN KAPAR



KLANG UTARA - "Saya dapat lihat semua kawan terbakar dalam kereta itu, saya cuba selamatkan, tetapi mereka tidak sedarkan diri," kata Chai Chee Seng, 18, salah seorang mangsa yang terselamat dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi di Batu 10, Jalan Kapar, kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

Mangsa yang maut adalah Ang Chin Foo (pemandu), Lee Boon Huat, Chong Chee Seng dan Chew Yee Ying.

Dia yang ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah memberitahu, mereka semua termasuk pemandu kepenatan selepas pulang dari menikmati minuman di Bandar Baru Klang.

"Ketika tiba di selekoh itu, kereta yang dipandu Chin Foo hilang kawalan lalu melanggar lampu isyarat dan akhirnya merempuh dinding sebuah kedai pajak gadai. Selepas rempuhan kuat itu, saya merangkak keluar melalui pintu pemandu.

“Saya cuba selamatkan mereka dengan cuba menarik mereka keluar namun gagal kerana masing-masing sudah tidak sedarkan diri, beberapa saat kemudian kereta api mulai marak," katanya yang mengalami cedera di tangan kanan serta melecur di bahagian punggung.

Difahamkan kelima-lima mangsa berkawan rapat sejak dari bangku sekolah rendah.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, kesemua mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang dari Bandar Baru Klang menghala ke Kapar.

Beliau berkata, bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian, Chin Foo yang dipercayai memandu laju hilang kawalan, sebelum terbabas melanggar lampu isyarat di tengah jalan.

Beliau berkata, kenderaan itu kemudiannya merempuh tembok kedai pajak gadai, sebelum terbakar.

"Empat daripada mangsa termasuk pemandu gagal menyelamatkan diri dan maut akibat terbakar.

"Mangsa duduk di sebelah pemandu, Chee Seng sempat menyelamatkan diri dengan keluar menerusi pintu pemandu," katanya, semalam.

Menurutnya, mayat keempat-empat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dibedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sesiapa yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nor Zaharuddin Sanip di talian,0127044642 bagi membantu siasatan. -Sinar
read more...
Share this article

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2014 The Manasseh Post • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top